Rabu, 10 Jun 2015

Salah siapa

Mendidik anak di zaman fitnah sangat-sangat mencabar. Apabila sesetengan ibu bapa zaman ini berlumba-lumba membeli dunia untuk anak-anak, wujudlah generasi cintakan dunia.

Sebagai ibu bapa yang tidak arus perdana, sukarnya untuk saya memberi faham anak didikan saya betapa yang nampak 'cool' pada pandangan mereka sebenarnya adalah jalan menuju NERAKA! Apatah lagi mendidik anak yang bukan dari rahim saya, yang bukan dari acuan didikan saya semenjak kecil. Tewas rasanya bila saban hari menasihat, saban hari mendoakan, rupanya tiada satu singgah di hatinya. Dimana silap saya?

Terduduk bila membaca kata hatinya. (Sama perit bila terbuka smartphone nya yang penuh material tidak senonoh dan perbualan yang menjurus ke arah seks). Dia cuma ingin menjadi 'cool' seperti kawan-kawan yang dipujanya. Memiliki smartphone canggih. Boleh menjual muka di sosial media. Mencari kawan maya (mostly boys). Nak ada boyfriend (katanya dia tahu jaga diri dan tahu batas)

Ya, saya bukan ibu arus perdana. Saya garang. Saya tegas. Demi Allah, saya sayang padanya seperti anak kandung saya. Kerana sayanglah saya ingin mencegah kanser ini dari terus menular lebih jauh. Saya ada keyakinan untuk selamatkan dia. Saya ingin membawa dia ke jalan Allah. Supaya hidupnya lebih bermakna.

Dangkalnya saya kerana buta dengan kehendak remajanya. Saya terasa gagal. Fahamilah wahai anak, yang nampak syurga di matamu, adalah jalan yang akan membawamu ke neraka. Fahamilah, bilamana ibumu ini menghalang naluri 'cinta'mu hanya kerana ibumu tahu yang membuak di dadamu itu bukan cinta bahkan hanya nafsu yang merosakkan. Fahamilah, bila ibumu enggan memberimu gajet canggih hanya kerana ibu tahu itulah yang akan mencampakkanmu ke lembah lebih hina.